![]() |
|
Wednesday, October 31, 2007 ABANG PELAKON TIDAK BERSETUJU PEMBERIAN HARTA SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam menetapkan 21 Januari depan untuk sebutan semula kes permohonan pengesahan pembahagian harta yang diisytiharkan sebagai hibah (pemberian atas dasar kasih sayang ketika pemberi masih hidup) oleh Allahyarham Tan Sri Datuk Ahmad Farouk Isahak kepada lima anak termasuk bekas pelakon dan model terkenal sekitar 90-an, Sharmaine Farouk. Difahamkan, semalam sebutan kali pertama kes itu bagi membolehkan pihak defendan memfailkan pembelaan terhadap semua saman dikemukakan plaintif iaitu Sharmaine Farouk Ahmad Farouk, 36, Ahmad Ridzuan, 46, Soraya, 44, Serena, 39, dan Aimran Ambari, 33. Sharmaine yang pernah membintangi filem seperti Panggilan Pulau (1994) dan XX Ray (1992) serta plaintif lain memfailkan writ saman itu pada 10 Ogos lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya melalui Tetuan Ahmad Nazib & Associates dan masing-masing menamakan Ahmad Rezal Farouk, 42, sebagai defendan. Ahmad Rezal anak ketiga daripada enam beradik itu sebelum ini tidak bersetuju dengan pemberian harta secara hibah dan mendakwa ia sengaja diada-adakan oleh kelima-lima plaintif serta menuntut supaya harta berkenaan dibahagikan secara faraid. Peguam syarie Ahmad Nazib Johari yang mewakili kelima-lima plaintif ketika ditemui di luar mahkamah mengesahkan tarikh yang diperoleh daripada pihak mahkamah. Defendan diwakili peguam syarie, Abdul Halim Bahari. Sementara itu berdasarkan afidavit tuntutan, semua plaintif mendakwa bahawa bapa mereka yang menghidap sakit jantung sejak 1997 dan sering dimasukkan ke hospital (dari tahun 2000 hingga 2003), meninggal dunia pada 14 Disember 2005 kerana komplikasi jantung. Sebelum itu, Allahyarham ada membuat akuan dan menurunkan cop jari ke atas suratcara hibah berhubung pemberian harta kepada plaintif kedua (Ahmad Ridzuan), iaitu sebuah rumah di bawah geran HS(D) 15766, Lot No 4609 (P.T 2124) Mukim Hulu Klang, dan beralamat di No 6, Jalan 2/2, Taman Tun Abdul Razak dan sebidang tanah di bawah geran HS (D) 18654, PT No.10556, Mukim Ulu Klang. Proses menandatangani dokumen itu dibuat di Institut Jantung Negara melalui peguamnya dan di hadapan saksi, Zainul Rejal Abu Bakar (peguam syarie) serta dua saksi lain, iaitu Hasshahari Johari Mawi dan Mohd Tajuddin Abd Razak pada 27 Ogos 2004. Plaintif percaya bahawa hibah itu yang dibuat Allahyarham secara sukarela adalah sah mengikut hukum syarak dan pemberian itu sebagai tanda kasih sayangnya kepada plaintif kedua. Plaintif juga percaya hibah dibuat Allahyarham setahun sebelum kematiannya sukarela dan tanpa paksaan daripada mana-mana pihak dan disaksikan saksi berkelayakan.Malah, plaintif mendakwa ketika pelaksanaan hibah, Allahyarham berada dalam keadaan waras, baik ingatan dan memahami tujuan serta kesan hibah itu sebelum menurunkan cop jari beliau, selain saksi berulang kali bertanya bagi mendapatkan kepastian tindakannya. Menurut plaintif, sepanjang setahun hibah dilaksanakan, tiada sebarang hasrat dan keinginan Allahyarham untuk menarik balik, mengubah atau membatalkan hibah itu.Selain itu, Allahyarham juga melantik plaintif pertama (Sharmaine) sebagai pemegang amanah wasiat bagi menyelesaikan segala tanggungan, hutang dan perbelanjaan wajib ke atasnya seperti yang dinyatakan dalam surat wasiat. Labels: BERITA MuSaFiR_0102.. 10:35 AM.
*www.darulfuqaha.com |
|